Takaful Malaysia telah meraikan pemenang bertuah hadiah utama kempen Kaotim MediKad U Kaotim U Win, Farah Wahida Iberahim yang memenangi hadiah utama iaitu sebuah kereta Perodua Ativa. Majlis penyerahan hadiah utama yang berlangsung di Takaful Malaysia cawangan Alor Setar turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia serta pihak pengurusan Takaful Malaysia.
Nor Azman Zainal, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, berkata, “Alhamdulillah, kami amat berbesar hati dengan sambutan yang memberangsangkan sepanjang kempen ini berlangsung dengan jumlah penyertaan yang di luar jangkaan. Penganjuran kempen ini merupakan satu inisiatif pemasaran yang kami laksanakan bersempena dengan pelancaran pelan Kaotim MediKad di bawah jenama platform digital kami iaitu Kaotim yang telah dilancarkan pada November tahun lepas.”
“Sekalung tahniah kepada Puan Farah Wahida yang telah menjadi pemenang bertuah hadiah utama kempen ini. Saya tertarik untuk berkongsi kisah menarik di sebalik kemenangan ini, kerana sangat terharu dengan keprihatinan majikannya yang melanggan pelan Kaotim MediKad untuk semua kakitangannya, termasuk Puan Farah Wahida, sehingga melayakkan beliau menyertai kempen ini dan sekaligus bertuah kerana telah terpilih menjadi pemenang hadiah utama,” kata Nor Azman Zainal.
Kempen Kaotim MediKad U Kaotim U Win yang telah berlangsung pada 26 Disember 2023 hingga 31 Mac 2024, memberikan pelbagai ganjaran menarik kepada 141 pemenang bertuah, termasuk wang tunai bernilai sehingga RM20,000, wafer emas, barangan elektrik serta hadiah utama iaitu sebuah kereta Perodua Ativa.
“Pelan Kaotim MediKad yang ditawarkan melalui platform digital Kaotim merupakan inisiatif kami untuk membantu mengurangkan kos perubatan rakyat Malaysia dengan menawarkan pelan perlindungan perubatan mampu milik untuk pelbagai peringkat umur dari serendah RM38 sebulan. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang kempen Kaotim MediKad U Kaotim U Win dan terima kasih kepada para pelanggan kami kerana setia bersama Takaful Malaysia dan melanggan pelan yang ditawarkan di bawah jenama Kaotim,” kata Nor Azman Zainal.