Dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Takaful Malaysia telah melancarkan Program Di Hatiku Student Food Aid Fasa 2 di Sekolah Kebangsaan Taman Dato’ Harun 2 pada 2 Ogos 2024. Selaras dengan Sustainable Development Goals (SDG), Takaful Malaysia telah memperuntukkan lebih RM350,000.00 bagi menangani isu kekurangan zat makanan serta memastikan akses berterusan kepada makanan berkhasiat dan mencukupi untuk pertumbuhan dan perkembangan sihat pelajar asnaf di 13 buah sekolah sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, selain membantu meningkatkan prestasi akademik mereka. Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad, En. Mohamed Sabri Ramli, turut hadir bagi merasmikan pelancaran dan menyantuni para pelajar penerima bantuan.
Inisiatif ini bukan sahaja memenuhi keperluan pemakanan harian malah menekankan peranan sokongan makanan secara konsisten dalam meningkatkan tumpuan, kehadiran dan pencapaian akademik. Dengan menyasarkan sekolah yang mempunyai bilangan pelajar kurang berkemampuan yang tinggi, program ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih sihat dan kondusif, seterusnya menyumbang ke arah kemajuan sosial dan keseimbangan dalam pendidikan secara lestari.